Thank you

FACEBOOK

Wednesday, June 8, 2011

Praktis 5S Jamin Dapur Sentiasa Bersih


Konsep 5S mula diperkenal di negara Jepun pada awal tahun 1980an. Tujuanya menjadikan tempat kerja selesa dan kemas. Kejayaan pelaksanan Program 5S di negara itu, terutama dalam sektor perindustrian telah membawa kepada penggunanya secara meluas di seluruh dunia.



Konsep 5S ini juga boleh dipraktikkan di dalam pengurusan ruang dapur agar kekal bersih, kemas dan bersistematik. Kecekapan mengurus ruang dapur bukan sahaja bertujuan untuk menjamin kesempurnaan penampilan dan keselesaan ruang dapur semata-mata malah turut memberi kesan kepada tahap kebersihan makanan yang dimasak dari dapur anda sendiri.

1 SEIRI – SISIH
Cuba lihat di sekeliling ruang dapur yang penuh dengan pelbagai barangan. Tanyalah diri sendiri adakah barang-barang tersebut masih diperlukan dan selamat untuk digunakan. Asingkan yang mana masih boleh digunakan dan yang mana telah rosak buangkan sahaja.

2 SEITON – SUSUN
Susun peralatan dapur seperti pisau, kuali, periuk, pinggan dan sebagainya secara kemas dan di dalam keadaan yang bersih. Susunan yang rapi dan bersistematik ini penting untuk memudahkan anda mencapai barangan tersebut. Manakala perletakkan bahan makanan seperti perencah, rempah ratus dan seumpamanya perlu disimpan secara teratur di bahagian yang sama agar semasa memasak memudahkan anda menggunakannya. Jika ditempatkan secara berasingan tentu sahaja semasa memasak anda akan tercari-cari bahan rempah yang diperlukan.

3 SEISO – SAPU
Pastikan selepas habis proses memasak, anda perlu terus melakukan pembersihan ruang dapur. Tentukan juga bahan makanan tidak dibiarkan berselerak di atas kaunter top, ia hendaklah segera disimpan atau dibuang jika tidak digunakan lagi. Manakala bahan makanan yang terjatuh di atas lantai hendaklah disapu dan permukaan lantai dilapkan sehingga bersih. Begitu juga mesin pengisar yang telah digunakan perlu dibersihkan segera sehingga kelihatan berkilat.

4 SEIKETSU – SERAGAM
Walaupun ruang dapur asalnya berkeadaan bersih dan kemas, ia pasti akan menjadi kotor dan berselerak apabila sering digunakan. Oleh itu, anda perlu mengulangi seiri, seiton dan seiso untuk memastikan keadaan ruang dapur sentiasa bersih dan kemas. Ketiga-tiga perkara tersebut perlu dilakukan setiap masa dan diseragamkan untuk menjamin ruang dapur kekal bersih.

5 SHITSUKE – SENTIASA AMAL
Amalkan sistem 5S secara berterusan hingga menjadi budaya di dapur untuk keluarga anda. Untuk itu anda perlu mendisiplinkan semua ahli keluarga agar mereka faham apa yang perlu dilakukan untuk menjamin ruang dapur bersih, selesa dan sihat.

No comments:

Post a Comment