Selamat datang RamadHan 1432 Hijrah. Ada antara kita yang seronok menyambut kedatangan RamadHan. Tetapi tidak kurang juga yang berasa susah hati apabila datangnya RamadHan kerana risau lapar dan dahaga.
“Katakanlah, Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, mereka golongan beriman hendaklah bergembira menerimanya. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”
(Surah Yunus: 58)
Ramadhan ada sejarahnya tersendiri. Nabi Muhammad pertama kali menerima wahyu ketika berusia 40 tahun, pada bulan 17 Ramadan (6 Ogos 610 Masihi) sewaktu baginda beribadat di Gua Hira’. Ketika itu Malaikat Jibril datang membawa wahyu dan menyuruhnya membaca. Kata Jibril, “Iqra’”. Muhammad menjawab dalam keadaan terkejut, “Saya tidak tahu membaca!” Baginda dipeluk dengan kuat oleh Jibril. Selepas dibebaskan dari pelukan, sekali lagi Jibril menyuruh Muhammad membaca, tetapi dibalas dengan jawapan yang sama. Keadaan itu berulang sebanyak tiga kali. Muhammad bertanya, “Apa yang ku baca?” Jawab Jibrail, “ Bacalah dengannama Tuhanmu yang menjadikan. Yang menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu teramat mulia. Yang mengajarkan dengan pena (tulis baca). Mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Itulah wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Muhammad, yang sekali gus mengangkat Muhammad sebagai Rasulullah. Ayat itu adalah ayat al-Alaq: 1-5 yang sekali gus menjadi ayat pertama yang diturunkan Allah kepada Rasulullah.
Rasulullah yang menerima wahyu dalam peristiwa Nuzul al-Quran (turunnya ayat al- Quran) itu terperanjat lalu pulang ke rumah dalam keadaan tubuh menggigil. Baginda meminta isterinya menyelimutkan tubuhnya. Selepas reda barulah baginda menceritakan kejadian yang berlaku. Sebagai isteri yang bijak, Khadijah Khuwailid tidak menunjukkan rasa cemas sebaliknya berusaha menenangkan suaminya. Malah Khadijah percaya seratus peratus pada kenyataan suaminya dan ikut beriman kepada Allah.
Malam Paling Istimewa
Pada bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang dianggap paling istimewa, iaitu Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Lailatul Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 malam akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan.
Peristiwa Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar mempunyai hubungan rapat, seperti yang diterangkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah. Antaranya firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (al- Qadar:1-5)
Menurut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat daripada Ali bin Aurah. Pada satu hari Rasulullah menceritakan mengenai empat orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun, tanpa derhaka sedikit pun pada Allah. Mendengar cerita itu, para sahabat kagum dengan amalan empat lelaki itu. Jibril kemudian datang memberitahu kepada Rasulullah, bahawa Allah akan menurunkan sesuatu yang lebih baik daripada amalan empat lelaki ini.
Jibril membacakan surah al-Qadar dan memberitahu Rasulullah bahawa ayat ini lebih baik daripada apa yang Rasulullah kagumkan pada kisah empat lelaki sebelum ini. Berita ini juga memberikan kegembiraan yang tidak terhingga kepada Rasulullah dan para sahabat.
No comments:
Post a Comment